Wednesday, July 24, 2013

PERUBAHAN SOSIAL DAN KESOPANAN MASYARAKAT (MELALUI ANTROPOLOGI DAN SOSIOLOGI )

CONTOH DALAM BIDANG ANTROPOLOGI SOSIOLOGI

Kota raya Kuala Lumpur diletakkan pada kedudukan ke 33 daripada 35 buah kota raya terpilih di seluruh dunia dalam kajian mengenai keramahan dan kemesraan. Reader’s Digest telah menghantar wartawannya untuk melihat sendiri bagaimana masyarakat di bandar raya berkenaan bertindak balas terhadap tiga kriteria : Sanggup membuka pintu kepada orang yang tidak dikenali, membantu seseorang yang memerlukan dan ramah dengan senyuman ketika memberi perkhidmatan.

Daripada senarai yang dikeluarkan, bandar raya New York, Amerika Syarikat berada pada kedudukan teratas dengan 88 peratus. Ed Koch, bekas datuk bandar berkata penduduk New York kini lebih prihatin dan bersikap penyayang selepas kejadian 11/9 kerana menyedari betapa singkatnya kehidupan.

Masyarakat kota yang paling biadab ialah Mumbai, India yang mana ketiga-tiga elemen yang dikaji adalah begitu asing bagi masyarakatnya. Di Asia, Manila berada pada kedudukan ke 23 iaitu bandar raya terbaik berbanding bandar raya Asia yang lain.

Analisis kajian ini mencadangkan aras kesopanan diletakkan pada 55 peratus.

Tinjauan yang dibuat oleh New Straits Times sebagai susulan kajian ini memperlihatkan pertentangan jelas di antara orang tempatan dan luar mengenai kebiadaban masyarakat Kuala Lumpur. Mustafa Azhar, seorang pesara mengakui masyarakat Malaysia memang biadab. Beliau menceritakan pengalamannya dalam banyak kejadian di mana ketika pintu dibuka, ramai yang meluru untuk masuk dari belakangnya. Pengalaman orang lama seperti ini mengesahkan kelunturan budi dan adab di kalangan masyarakat.

Noraiti Mohd, seorang pengurus kurang bersetuju dengan hasil kajian berkenaan. Katanya rakyat Malaysia lebih sopan berbanding masyarakat luar. Sesetengah kakitangan kerajaan dan peniaga di Jalan Petaling, Kuala Lumpur mungkin bertindak kurang mesra tetapi secara keseluruhannya beliau menganggap orang Malaysia tidaklah seburuk yang disangkakan.

Dua orang penduduk luar yang telah menetap di Kuala Lumpur masing-masing mempunyai pendapat yang sama. Margaret Richards, seorang pesara dari London pernah menetap di Kuala Lumpur dari tahun 1978 hingga 1986 tidak bersetuju dengan hasil kajian yang diumumkan itu. Beliau mempertahankan sikap ramah, sopan, mesra dan senang dengan senyuman rakyat Malaysia. Keyakinan ini ditambah dengan hasrat anak perempuannya yang memilih untuk menetap di Kuala Lumpur berbanding London dan New Zealand.

“Masyarakat Malaysia adalah sopan. Baik terhadap kanak-kanak dan melayan dengan mesra apabila dikenali”, itulah ungkapan daripada Nancy Bradshaw, seorang warga Canada yang telah tinggal selama 3 ½ tahun di Malaysia.

Hasil kajian ini dan pendapat orang ramai memperlihatkan keputusan yang bercampur-campur. Orang tempatan mengakui bahawa masyarakat Malaysia sememangnya biadab manakala orang luar sebaliknya. Y.B. Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri ketika diminta mengulas hasil kajian ini berkata keputusan yang dikeluarkan itu boleh dipertikaikan kerana asas yang digunakan dalam menentukan kota raya biadab tidak jelas. Bagaimanapun beliau bersetuju masih terdapat ruang yang boleh diperbaiki ke arah mewujudkan masyarakat yang ramah dan mesra. Kita yakin ramai lagi yang mempunyai pandangan yang sama dengan beliau.

Dari perspektif yang berbeza, sumber kajian ini ialah Reader’s Digest iaitu sebuah organisasi yang besar, dipercayai dan dikenali ramai dengan kewibawaannya. Tidak mudah untuk mengendalikan kajian yang melibatkan 35 buah kota raya di seluruh dunia dengan 2000 ujian dan pemerhatian yang berasingan. Banyak perbelanjaan, masa dan tenaga yang diperuntukkan bagi melengkapkan penyelidikan ini.

Keinginan pengkaji untuk melihat tiga elemen sahaja sebagai asas penilaian kepada kesopanan masyarakat tentulah dibuat saringan yang lengkap dan teliti. Malahan ketiga-tiga kriteria ini adalah kriteria bersahaja di dalam masyarakat. Mengucapkan “terima kasih” terdapat dalam semua masyarakat yang bertamadun. Tentulah terdapat faktor-faktor lain yang kadangkala menjadikan ucapan terima kasih amat berat untuk dilafazkan.

Membantu mengangkat sesuatu barang yang jatuh dan membuka pintu adalah tindakan spontan yang lahir daripada keinginan untuk meringankan beban orang lain selain daripada tanda hormat. Ia turut berkait rapat dengan nilai yang dimiliki oleh seseorang itu sama ada menghargai sifat ingin menolong ataupun tidak.

Sejarah perkembangan masyarakat Malaysia tentulah berbeza dengan New York, Amerika Syarikat yang telah merdeka lebih daripada 200 tahun yang lalu. Mereka mempunyai budaya yang mantap kerana pendidikan yang lebih maju daripada kita. Dua puluh bandar raya teratas dalam kajian ini adalah negara yang telah maju dan di antaranya mempunyai tamadun yang telah berakar umbi dalam masyarakat.

Olivia Turley, pelajar Master Sains Universiti Putra Malaysia berasal dari Amerika Syarikat sering mengakhiri pesanan ringkasnya dengan ucapan yang ramah dan menggembirakan. Antaranya ialah ;

Have a very pleasant afternoon
Thanks again
I greatly appreciate
Have a good evening

Ketika pertemuan secara sengaja ataupun tidak, beliau kerap bertanya khabar dan sentiasa murah dengan senyuman. Agak sukar bagi kita untuk berjumpa dengan pelajar Malaysia yang bersikap begitu.

Kita mengakui bahawa masyarakat Malaysia telah berubah dari segi sosialnya. Keadaan ini boleh dikenal pasti melalui perubahan budaya kesan daripada pembangunan negara dari dulu hingga sekarang. Terdapat tiga peringkat perubahan sosial yang dialami oleh masyarakat Malaysia iaitu era pramoden, era penjajahan dan era pembangunan negara dan rancangan lima tahun. Perubahan era ini telah memecahkan kesepaduan nilai dari satu era ke era yang lain bergantung kepada proses perubahan yang hendak ditujui.

Era pramoden ataupun tradisional terdapat perubahan sosial yang minimum dan tidak menimbulkan masalah sosial yang rumit. Masyarakat ketika itu khususnya Melayu adalah masyarakat yang separuh tertutup, ringkas dan praindustri. Nilai-nilai tradisi seperti keharmonian, kestabilan, patuh kepada nilai-nilai dan norma masyarakat. Pada masa ini, keamanan, kedamaian dan ketenangan menjadi keutamaan. Keadaan seperti ini dapat kita lihat dalam filem-filem Melayu klasik.

Kedatangan British telah membawa nilai dan norma yang baru serta memecahkan tradisi nilai masyarakat sama ada secara terang atau tersembunyi. Masalah sosial mula timbul sejak mereka memerintah Tanah Melayu pada akhir kurun ke 19 hinggalah pertengahan kurun ke 20.

British membawa masuk industri dan sistem pentadbiran yang lebih sistematik secara mengejut dan paksaan yang merosakkan sistem dan struktur nilai, norma dan budaya masyarakat. Natijahnya ialah wujud pertentangan kerana masyarakat tidak dapat menerima perubahan yang baru ini tanpa persediaan. Kemasukan buruh Cina dan India untuk memenuhi permintaan buruh di lombong bijih dan ladang getah menyebabkan Melayu dipinggirkan ke kampung dan sawah. Justeru lahirlah masyarakat industri yang membentuk golongan pemodal, pengurus, pengusaha, orang tengah dan tenaga buruh.

Kesan pembangunan negara adalah hasil daripada perancangan lima tahun dan kemuncaknya ialah Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1971 yang mensasarkan penghapusan kemiskinan tanpa mengira kaum dan penyusunan semula masyarakat. Setelah DEB berakhir, kerajaan memperkenalkan Dasar Pembangunan Nasional (1991) dan Dasar Wawasan Negara (2001).

Kesinambungan ketiga-tiga dasar ini terangkum dalam aspirasi kerajaan bagi membentuk sebuah negara Malaysia yang maju pada tahun 2020 melalui Wawasan 2020.

Pembangunan negara telah memberi beberapa persoalan yang wajar kita jawab. Apakah kita harus mengenepikan nilai dan norma yang terpuji semata-mata hendak mengejar sebuah negara yang maju? Di mana kesudahannya Kempen Budi Bahasa yang telah membelanjakan jutaan ringgit bagi menyedarkan masyarakat Malaysia?

Kelompok masyarakat yang belum mencapai tahap kematangan agak lambat menerapkan nilai yang dikehendaki. Peranan kempen yang singkat tidak dapat memberi kesan yang sepatutnya. Khalayak agak terkejut dengan kempen yang agresif dan singkat kerana mereka belum bersedia sepenuhnya. Tambahan kempen ini bermusim.

Membina masyarakat yang beradab dan berakhlak mulia harus bermula dari bawah, dari peringkat masyarakat dan menjalar ke bandar raya. Kesedaran keluarga bagi menjadikan budi bahasa dan beradab sebagai amalan harian adalah kunci kepada kejayaan ini. Kita bersetuju dengan kempen 10 tahun yang akan dilaksanakan oleh Kementerian Kesenian, Kebudayan dan Warisan untuk memanjangkan kempen ini ke sekolah-sekolah. Berapa banyak pula peruntukan yang hendak dikeluarkan seharusnya berbaloi dengan hasil yang diingini.

Orang ramai tidak harus melatah apabila Kuala Lumpur diletakkan jauh ke bawah dalam kajian ini pada tahun ini sebaliknya perlu muhasabah diri bagi memperbaiki setiap kelemahan yang ada.