Monday, February 13, 2012

AGEN SEKUNDER DAN AGEN UTAMA SOSIALISASI

Identiti atau personaliti individu atau masyarakat dibentuk melalui nilai, norma, adat, kebudayaan, bahasa yang diwarisi dari satu generasi kepada generasi seterusnya. Individu dan masyarakat perlu disosialisasikan disebabkan tingkah laku manusia adalah berbeza-beza daripada tingkah laku makhluk lain. Makhluk lain lahir dengan naluri genetik atau baka sedangkan manusia lahir dengan naluri genetik atau baka tidak lengkap. Kekosongan atau naluri genetik yang tidak dilengkap harus diisi oleh kebudayaan masyarakat.
Contohnya makhluk lain bila lapar makan, tetapi manusia diatur oleh nilai, norma, budaya masyarakat dimana makan yang disesuaikan oleh budaya seperti membasuh tangan sebelum makan, berdoa, duduk, makan dengan menggunakan tangan atau alat-alatan tertentu. Ia juga dimengertikan dengan penanaman atau pemindahan kebiasaan atau nilai dan aturan dari satu generasi ke generasi lainnya dalam sebuah kelompok atau masyarakat. Kita belajar melalui interaksi dengan orang lain, tentang cara berfikir, merasakan dan bertindak.

Sosialisasi adalah proses bagaimana manusia mempelajari kemahiran dan sikap yang berkaitan dengan nilai, norma dan peranan sosial. Seseorang yang belum disosialisasikan adalah sukar untuk berinteraksi dengan orang lain. Sosialisasi juga merupakan teori mengenai peranan. Ini disebabkan dalam proses sosialisasi diajar peranan-peranan yang harus dijalankan oleh individu.Sosialisasi boleh dibahagikan kepada dua jenis, iatu sosialisasi utama(primer) dan sosialisasi sekunder. Sosialisasi merupakan proses yang terus terjadi selama hidup kita.

Agen sosialisasi Utama

Keluarga
Keluarga memainkan peranan yang penting dalam memegang peranan sosial yang wajar dalam masyarakat. Contohnya dalam bekerjasama, persaingan, kasih sayang dan sebagainya.
Keluarga merupakan agen sosialisasi yang banyak memberi kesan kepada perkembangan diri kanak-kanak. Jika dibandingkan dengan agen-agen sosialisasi yang lain, ibu bapa mempunyai peranan yang penting bagi mengajar anak-anak memegang peranan sosial yang wajar di dalam sesebuah masyarakat. Di antara perkara-perkara yang dipelajari daripada ibu bapa ialah mengenai kerjasama dan persaingan, kemesraan dan kerenggangan atau bersenang hati dan ketegangan. Terdapat satu golongan ahli sains sosial yang mengatakan bahawa kanak-kanak pada waktu mereka dilahirkan adalah seperti kain putih atau papan tulis bersih (tabula rasa). Ini bermakna, pada waktu dia dilahirkan, kanak-kanak tersebut tidak jahat dan juga tidak baik. Apa yang menentukan pembentukan personaliti bergantung kepada faktor persekitaran. Keluarga atau ibu bapa sebagai kelompok utama memainkan peranan yang penting dalam pembentukan personaliti tersebut. Agama Islam sendiri ada mengatakan bahawa terpulanglah kepada ibu bapa untuk menasranikan anak-anak mereka. Dalam usia yang begitu muda di mana kebanyakan proses interaksi berlaku di rumah, ibu bapa menjadi model utama dan ulung yang boleh dicontohi oleh kanak-kanak.
Ahli-ahli sosiologi dan psikologi semenjak beberapa dekad yang lampau telah banyak menjalankan kajian mengenai cara ibu bapa mengasuh-didik anak-anak mereka dan apakah kesannya terhadap pembentukan personaliti. Banyak tumpuan yang telah diberikan mengenai cara ibu bapa memberi makanan kepada anak-anak, bila anak-anak bercerai susu, amalan penyusuan ibu dibandingkan dengan penyusuan botol, bila anak-anak dilatih tentang pengawalan najis, pola tidur dan sebagainya. Segala amalan mengasuh-didik anak-anak membayangkan tentang sikap dan tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anak. Terdapat tiga kaedah mengasuh-didik anak yang telah dikenal pasti oleh ahli sosiologi. Kaedah pertama ialah di mana ibu bapa bersifat garang terhadap anak-anak. Mereka mengamalkan falsafah “anak itu hanya boleh dilihat tetapi tidak boleh didengar”. Hasil daripada kajian mengenai keluarga autoritarian ini menunjukkan anak menjadi pasif, tidak ada inisiatif, submisif, tidak mahu bekerjasama dan takut mengeluarkan pendapat.
Kaedah laissez-faire adalah bertentangan dengan kaedah autoritarian. Dalam hal ini, ibu bapa terlalu berlembut dengan anak-anak, segala kemahuan anak dituruti dan disiplin terlalu longgar seperti memberikan kebebasan mutlak kepada anak-anak. Akibatnya, anak-anak tidak menghormati orang tua dan tidak mempunyai perasaan tanggungjawab. Ibu bapa yang mengamalkan kaedah sederhana atau demokratik selalu melibatkan anak-anak mereka berbincang dalam masalah keluarga. Mereka bersikap lembut tetapi tegas dan banyak memberi bimbingan. Disiplin anak-anak tidaklah bergantung kepada kuasa fizikal tetapi lebih kepada taakulan. Sekiranya anak-anak membuat kesilapan, mereka akan diberitahu kenapa mereka didenda. Anak-anak daripada keluarga demokratik telah didapati menunjukkan ciri-ciri inisiatif, bersopan santun, yakin kepada kebolehan diri sendiri di samping menunjukkan sifat-sifat lain yang positif. Selain daripada kaedah mengasuh-didik anak, ahli sosiologi juga berminat mengenai kesan keluarga seorang ibu bapa terhadap pembentukan personaliti kanak-kanak. Misalnya, apakah pembentukan personaliti bagi anak-anak yang dibesarkan oleh ibunya sahaja dan bapanya sahaja ataupun orang ketiga seperti ibu saudara atau nenek sendiri. Ahli sosiologi juga berminat tentang kesan terhadap anak lelaki yang dipelihara oleh hanya ibunya kerana bapanya telah meninggal dunia, telah bercerai dengan ibunya telah dimasukkan ke dalam penjara. Dalam aspek pemeliharaan anak, banyak tumpuan diberikan kepada peranan ibu sebagai orang yang sering memberikan kasih sayang atau kemesraan terhadap anak-anak. Peranan bapa dalam proses sosialisasi tidak banyak diberi perhatian pada masa yang lalu. Aliran semasa menunjukkan peranan bapa tidak kurang pentingnya dalam proses sosialisasi ini. Bapa moden bukan sahaja mahu memberikan susu kepada anak-anak tetapi juga boleh menyalin kain lampin anak-anak atau memandikan mereka.
Adik-beradik dalam sebuah keluarga juga memainkan peranan dalam proses sosialisasi. Penemuan daripada kajian menunjukkan bilangan anak dalam sebuah keluarga mempengaruhi cara interaksi dan disiplin yang dikenakan oleh ibu-bapa terhadap anak-anak. Misalnya, kajian ada menunjukkan bahawa dalam keluarga besar, anak-anak diberi tugas-tugas tertentu untuk membantu ibu bapa manakala dalam keluarga kecil pula anak-anak lebih dimanjakan dan tidak diberikan tugas membantu beban kerja di rumah. Secara keseluruhan, ahli-ahli dalam keluarga merupakan orang yang berpengaruh dalam pembentukan perkembangan sosial dan konsep kendiri kanak-kanak. Istilah orang lain yang disignifikan yang telah diperkenalkan oleh Harry Stack Sullivan ditujukan kepada mereka yang mempengaruhi atau memberi kesan kepada pembentukan konsep kendiri kanak-kanak. Ahli-ahli dalam keluarga iaitu ayah, ibu, abang, kakak dan adik adalah orang-orang yang paling signifikan dalam kehidupan seseorang. Dalam interaksi harian dengan ahli-ahli keluarga, seseorang itu akan mempunyai sikap, nilai dan pandangan hidup yang sama dengan ahli-ahli lain dalam keluarganya.

Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi ibu bapa mensosialisasikan anak berdasarkan jantina, kelas, ras dan kebudayaan. Bagi anak-anak yang masih dalam peringkat awal kehidupan dimana ibu bapa akan melayan anak mereka berbeza dari peringkat umur dewasa. Bagi anak perempuan ibu bapa akan memilih warna pakaian mungkin akan dipilih dari warna merah jambu, dengan warna yang lembut, memberikan mereka permainan anak patung, bermain masak-masak dan bila sudah membesar akan diajar untuk membantu kerja-kerja ibu di rumah. Manakala bagi anak lelaki pula, pemilihan warna bagi mereka boleh diberi berdasarkan warna terang seperti warna biru. Dimana anak lelaki akan diajar untuk bersifat berani, gagah, lasak dan sebagainya. Anak lelaki akan lebih cenderung untuk bermain tembak-tembak, bermain dengan pistol, lori dan kereta mainan. Bila sudah meningkat menjadi remaja akan cenderung untuk menolong ayah dengan melakukan kerja-kerja yang lebih berat dari anak perempuan.
Bagi contoh perbezaan tugas seorang petani berdasarkan jantina adalah, dimana lelaki anak bertugas untuk membajak tanah bendang manakala kaum wanita akan menyemai padi. Disini kita boleh melihat bahawa pembahagian tugas ini adalah lebih jelas.

Rakan Sebaya
Rakan sebaya juga merupakan agen sosialisasi utama. Walaupun pengaruh keluarga sangat kuat dalam kehidupan kanak-kanak, lama-kelamaan pengaruh tersebut semakin berkurangan apabila kanak-kanak sudah cukup besar untuk mempunyai rakan-rakannya sendiri. Kumpulan rakan sebaya terdiri daripada mereka yang sebaya dengan kanak-kanak dan kebanyakannya daripada status sosial yang sama. Berlainan dengan keluarga, kumpulan rakan sebaya tidak berniat untuk mensosialisasikan kanak-kanak. Tujuan utamanya ialah rekreasi. Namun demikian, fungsi sosialisasi yang tersembunyi yang ada pada rakan sebaya adalah agak penting. Pengaruh rakan sebaya sangat ketara pada peringkat remaja. Kadangkala ahli-ahli dalam clique atau geng mempunyai pengaruh yang kuat dari segi nilai, sikap dan pandangan terhadap kehidupan. Akibatnya, remaja cuba menghayati norma, nilai, kod dan segala harapan rakan sebaya supaya dia disanjungi oleh kumpulannya. Ramai ahli sosiologi mengatakan bahawa dalam masyarakat moden, kumpulan rakan sebaya telah menjadi agen sosial yang terpenting. Dalam masyarakat tradisional, pola kebudayaan yang stabil menjadi garis panduan kepada tingkah laku. Pembentukan personaliti banyak bergantung kepada tradisi masyarakat yang ada di sekeliling kanak-kanak. Gejala ini agak berlainan dalam masyarakat moden di mana pembentukan personaliti banyak bergantung kepada pengaruh rakan sebaya. Remaja merasakan dirinya perlu diterima oleh kumpulan rakan sebaya, remaja perlu akur atau patuh kepada nilai rakan sebaya. Kadangkala, norma dan nilai tersebut bertentangan dengan norma dan nilai keluarga atau tradisi dan ini akan merupakan bibit-bibit konflik antara golongan muda dan tua.
Jurang generasi semakin meningkat dalam negara moden seperti Amerika Syarikat. Apabila seseorang itu mencapai peringkat remaja, kumpulan rakan sebaya membuat tuntutan terhadapnya supaya berfikir dan berkelakuan yang bercanggah dengan norma generasi tua. Banyak kebudayaan kaum muda muncul seperti bentuk seni baru, peraturan seks yang tidak ketat, cara berpakaian ala moden, pelbagai stail rambut ala punk, cuba berjinak dengan dadah dan banyak lagi tingkah laku lencong yang sukar diterima oleh orang tua. Biasanya, nilai dan harapan ibu bapa dibangkang secara terus terang. Protes dan pemberontakan tersebut pada pandangan kaum muda adalah untuk menunjukkan mereka tidak lagi bergantung kepada orang dewasa. Tujuannya ialah untuk mempunyai konsep kendiri yang tersendiri.
Rakan sebayalah yang mempengaruhi cara bermain, bergaul dan tingkah laku remaja banyak terbentuk dari rakan sebaya. Sehingga kepada dewasa membawa kepada pembentukan clique atau gang dimana nilai, kod dan etika dalam clique atau gang akan diterima pakai oleh rakan sebaya. Nilai, kod dan etika yang dipengaruhi oleh rakan sebaya ini kadang kala bertentangan dengan nilai norma keluarga atau nilai norma masyarakat tempatan. Ini boleh membawa kepada pertembungan nilai, kod dan etika.

Kumpulan Sekunder

Kebanyakan daripada proses sosialisasi yang disengajakan terletak kepada beberapa organisasi birokratik. Agen sekunder iaitu Sekolah merupakan agen sosialisasi yang disengajakan. Secara amnya, sekolah berfungsi untuk menyalurkan norma dan nilai masyarakat kepada anak-anak muda. Dalam proses persekolahan, anak-anak muda yang melalui sistem pendidikan dalam jangka masa tertentu dijangka mempelajari beberapa ilmu pengetahuan, kemahiran, nilai, sikap dan pandangan tertentu terhadap masyarakat. Tetapi, sepertimana yang ditunjuk oleh perangkaan mengenai mereka yang cicir sekolah dan ada pula yang terlibat dengan tingkah laku delinkuen, menunjukkan bahawa sekolah tidak mencapai kejayaan sepenuhnya dalam tugas ini. Terdapat beberapa fungsi sosialisasi yang nyata bagi sekolah. Dimana didalam sekolah ini terdapat kumpulan rakan sebaya yang besar di mana mereka sering berinteraksi antara satu sama lain hampir separuh masa mereka dalam satu hari. Dalam interaksi ini akan ada pelbagai nilai, norma dan etika yang akan membawa kepada percampuran. Dimana seseorang itu boleh ditolak atau diterima oleh kumpulan remaja tertentu.
Kedua, sekolah meluaskan lagi golongan orang lain yang signifikan iaitu selain daripada rakan sebaya termasuk juga guru. Seperti dengan ibu bapa, guru mempunyai autoriti terhadap kanak-kanak, mengajar sesuatu kepada kanak-kanak dan juga dijangka mengambil berat tentang perkembangan dan kemajuan murid. Oleh yang demikian, guru boleh menjadi model peranan yang sangat berpengaruh dalam perkembangan kanak-kanak. Misalnya, banyak bukti yang menunjukkan betapa kuatnya pengaruh guru dalam pemilihan perguruan sebagai kerjaya seseorang. Murid yang meminati sesuatu mata pelajaran atau membenci mata pelajaran lain banyak dipengaruhi oleh guru. Ataupun, banyak kajian yang telah dibuat di Barat yang menunjukkan kesan negatif terhadap pembentukan personaliti kanak-kanak yang tidak mempunyai bapa. Kebanyakan guru sekolah rendah terdiri daripada kaum wanita dan sekiranya kanak-kanak tadi datang dari keluarga yang tidak mempunyai bapa, kanak-kanak tersebut tidak mempunyai model lelaki yang boleh dicontohi. Akibatnya, kanak-kanak tersebut menjadi murid yang bermasalah di sekolah, seperti tidak mahu mematuhi arahan guru dan mematuhi peraturan sekolah.
Ketiga, sekolah bertanggungjawab menyalurkan kebudayaan masyarakat, sejarah masyarakat tersebut, bahasa yang digunakan dalam kehidupan seharian, gedung ilmu yang sedia ada di samping menyampaikan norma-norma masyarakat berkenaan. Pembelajaran perkembangan sejarah tanah air bertujuan untuk menyemaikan semangat patriotisme atau ketaatan kepada negara di samping memahami keadaan semasa melalui peristiwa-peristiwa lampau. Bahasa merupakan alat komunikasi di antara manusia, dan kemahiran berinteraksi banyak bergantung kepada penguasaan bahasa. Begitulah pelbagai bentuk ilmu, seperti ilmu empirikal atau estetik boleh membantu perkembangan individu yang seimbang dan boleh digunakan dalam kehidupan sehari-hari. Aspek moral atau efektif tidak juga diabaikan.
Akhir sekali, sekolah merupakan tempat kanak-kanak mempelajari tentang mekanisme kawalan institusi. Nilai-nilai sarwajagat yang dipelajari dalam kelas termasuklah beratur , berasingan, tepat waktu atau tidak lewat dan patuh kepada peraturan. Segala kemahiran yang diperolehi di sekolah menyediakan kanak-kanak kepada organisasi lain yang formal yang akan ditempuhi setelah kanak-kanak meningkat dewasa. Sekolah dianggap sebagi sebuah institusi sosial yang cuba menyalurkan nilai-nilai kelas pertengahan. Sudah menjadi tugas guru menyalurkan nilai-nilai tersebut tidak kira sama ada guru tersebut berasal dari latar belakang pertengahan atau tidak. Profesion perguruan adalah profesion kelas pertengahan. Biasanya, guru perlu menjalankan tugasnya seperti yang diharapkan oleh masyarakat.
Sebaliknya pula, murid-murid datang dari latar belakang yang berbagai-bagai. Kebanyakan sekolah mempunyai murid-murid yang berasal dari kelas bawahan. Selain itu, mereka juga mungkin datang dari keluarga yang berpecah belah, atau ibu bapa yang tidak mengambil berat tentang pelajaran atau keperluan asas kanak-kanak. Kanak-kanak seperti ini seolah-olah dipaksa bersekolah kerana bagi sesetengah ibu bapa sekolah berfungsi untuk menjaga anak-anak mereka selama lima hingga ke enam jam sehari. Kanak-kanak seperti ini dilihat oleh guru sebagai seorang murid yang lemah, tidak berminat belajar, suka mengacau kelicinan atau ketenteraman pelajaran dan sebagainya. Norma yang dipegang oleh kanak-kanak malang seperti ini bertentangan dengan norma sekolah. Akibatnya, sekolah menjadi medan konflik nilai diantara guru dan murid. Murid-murid yang tidak menghayati nilai-nilai yang telah ditetapkan oleh masyarakat melihat sebagai sekolah tempat yang menyeksa aktiviti mereka dan jarang sekali mereka mencapai kejayaan. Di kalangan pelejar-pelajar sendiri terdapat kebudayaan mereka yang tersendiri yang wujud secara tidak formal. Kebudayaan pelajar wujud di kalangan clique atau geng mereka. Mereka membentuk cara tersendiri bagai mengelakkan diri daripada dihukum, memberi nama “khas” kepada guru atau murid tertentu atau memandang rendah kepada murid yang lebih bijak atau rajin daripada mereka.

Media Massa
Media massa memberi kesan yang kuat dalam proses sosialisasi, di mana melaluinya kanak-kanak belajar melalui model-model peranan, mengajar tingkah laku dan sikap yang ‘betul’ di samping meluaskan pandangan kanak-kanak. Sejak kebelakangan ini, media yang paling mempengaruhi proses ini ialah televisyen. Televisyen telah menjadi agen sosialisasi yang signifikan, tetapi kontroversial. Banyak pro dan kontranya mengenai kesan televisyen terhadap perkembangan kanak-kanak. Kajian yang penah dibuat di Barat menunjukkan kanak-kanak menghabiskan masa sebanyak tiga hingga ke empat jam sehari di hadapan kaca televisyen. Ini bermakna sebanyak satu perenam daripada waktu jaga mereka adalah di hadapan peti televisyen. Rancangan-rancangan yang memaparkan keganasan juga telah didapati memberi kesan kepada tingkah laku agresif di kalangan kanak-kanak. Pengkritik-pengkritik televisyen melontarkan pendapat mereka bahawa televisyen mengurangkan minat mereka terhadap bacaan, ia merupakan aktiviti yang membazir waktu dan memberikan model-model yang buruk untuk dicontohi. Oleh sebab itulah negara yang banyak mengimport rancangan televisyen dari Barat perlu berhati-hati memilih rancangan yang boleh membawa kepada pemikiran sihat dan positif. Pada pihak yang lain pula, terdapat ahli sosiologi yang melihat kepada kesan baik televisyen. Ia dikatakan boleh meluaskan pandangan kanak-kanak melalui peranan-peranan yang mungkin tidak wujud dalam persekitaran mereka. Televisyen juga memberi berbagai-bagai idea dan aktiviti kepada kanak-kanak. Rancangan kanak-kanak yang disusun baik dapat memperbaiki konsep kendiri dan kemahiran intelektual kanak-kanak.
Terdapat dua pemikiran mengenai sama ada televisyen menggalakkan tingkah laku agresif dan langsang. Satu pendapat yang memegang kepada hipotesis catharsis menyokong rancangan-rancangan yang bercorak ganas kerana ia dikatakan dapat melepaskan tindakan desakan agresif individu. Dengan kata lain, televisyen dapat mengurangkan tingkah laku agresif. Pendapat yang kedua pula berpegang kepada hipotesis moden iaitu kanak-kanak akan cuba melakukan apa yang telah dilihat. Banyak eksperimen yang telah dijalankan terhadap kanak-kanak dan penemuannya menyokong teori yang kedua tadi. Soalnya di sini ialah kenapa ibu bapa merasa televisyen membawa keburukan daripada kebaikan kepada kanak-kanak? Mungkin satu jawapan yang mudah ialah ibu bapa perlu mengawal rancangan-rancangan yang ditonton oleh anak-anak mereka. Nampaknya terdapat ibu bapa yang tidak dapat mengawal anak-anak mereka daripada menonton televisyen manakala di pihak yang lain pula terdapat ibu bapa yang tidak mengambil berat tentang rancangan yang diminati oleh anak-anak kerana mereka sendiri gemar menonton rancangan yang bercorak ganas.