Monday, February 13, 2012

Fungsi Sosial Institusi Keluarga

Keluarga merupakan institusi yang paling berperanan bagi melahirkan masyarakat yang bersatu padu, penyayang, toleransi, tolong menolong dan sebagainya kerana keluarga akan berkembang menjadi institusi yang lebih besar iaitu masyarakat.

Fungsi keluarga dilihat daripada 2 perspektif – fungsional dan konflik
Fungsional – Perspektif ini melihat institusi keluarga dari segi keperluan sosial yang diberikan dan sumbangan positif kepada masyarakat.

Oleh itu fungsi sosial institusi keluarga dalam masyarakat ialah;

1.Kawalan tingkah laku seksual (pengesahan hubungan jantina)
Setiap masyarakat mengawal tingkah laku seksual ahli-ahlinya, walaupun cara kawalan tersebut berbeza-beza.
Dalam kebanyakan masyarakat, terdapat hukum agama dan undang-undang yang melarang perhubungan jenis di luar kawalan perkahwinan.
Dalam kajian Murdock (1949) beliau mendapati hanya kurang daripada lima peratus daripada 250 masyarakat yang dikajinya mempunyai sikap liberal terhadap kebebasan seks di luar perkahwinan.
2. Menambahkan zuriat (pembiakan zuriat)
Keluarga juga berfungsi menambahkan bilangan ahli ke dalam masyarakat. Tidak ada masyarakat yang boleh kekal lama sekiranya setiap generasi tidak dapat menambahkan ahli. Keluarga juga menentukan peranan ibu dan bapa dalam pengasuhan anak. Walaupun kanak-kanak boleh dilahirkan tanpa pernikahan, keadaan seperti ini tidak mendapat persetujuan sepenuhnya daripada ahli masyarakat.
3. Agen Sosialisasi
Proses sosialisasi bermula dalam keluarga, Anak-anak bergantung sepenuhnya kepada kedua ibu bapa mereka untuk mendapat makan minum, perlindungan dan kasih sayang dan mereka mudah dipengaruhi oleh sikap ibu bapa mereka.
Keluarga mempunyai fungsi menyalurkan kebudayaan-kebudayaan masyarakat kepada generasi muda seperti nilai, norma, kepercayaan, sikap dan juga bahasa masyarakat tersebut.
Memang terdapat agen-agen sosialisasi yang lain seperti rakan sebaya, sekolah dan media massa tetapi keluarga adalah agen sosialisasi yang pertama dan paling berpengaruh dalam pembentukan personaliti kanak-kanak.
4. Sokongan emosi
Satu lagi fungsi penting bagi keluarga ialah memberi sokongan emosi kepada ahli-ahlinya. Walaupun terdapat manusia yang suka bersendirian, secara keseluruhan manusia ialah insan yang suka berinteraksi.
Manusia bukan sahaja memerlukan persahabatan tetapi juga memerlukan jagaan dan kasih sayang. Memang telah diakui bahawa manusia memerlukan kasih sayang bagi perkembangan normal. Daripada peringkat bayi hingga ke peringkat tua, manusia memerlukan keluarga masing-masing untuk mendapat kemesraan
5. Kawalan sosial
Ibu bapa mengajar anak-anak apa yang betul dan membezakan dengan apa yang salah. Setiap masyarakat memerlukan kawalan sosial iaitu mekanisme yang menentukan ahli-ahlinya mematuhi peraturan.
Tanpa kawalan sosial yang berkesan, sesebuah masyarakat akan porak poranda. Di mana sahaja di dunia, kanak-kanak mula mempelajari tentang peraturan daripada ibu bapa mereka. Melalui kawalan sosial inilah, keluarga mengekalkan rukun dan damai dalam masyarakat.
6. Jagaan tehadap anak
Orang dewasa mempunyai tanggungjawab menjaga dan mendidik kanak-kanak sehingga mereka dewasa. Ibu bapa memberi tempat perlindungan untuk keselamatan anak-anak kerana ini sudah menjadi tanggungjawab mereka.
Tidak ada institusi lain dalam masyarakat yang melaksanakan kedua-dua fungsi melahirkan anak dan kemudian menjaga mereka dengan sempurna atau setakat yang boleh.
7. Kerjasama ekonomi
Setiap keluarga memainkan peranan ekonomi. Dalam keluarga tani, setiap orang ahli mempunyai peranan untuk memberi sumbangan kepada kerja di ladang. Pekerjaan tersebut adalah mengikut kriteria jantina dan umur pula. Begitulah juga halnya dengan keluarga peniaga kecil. Setiap ahli dalam keluarga mempunyai peranan utama untuk memaksimumkan keuntungan dalam perniagaan.
Konflik – perspektif konflik menyatakan perkahwinan dan kewujudan institusi keluarga ini tidak mendatangkan apa-apa faedah kepada individu atau masyarakat melainkan konflik semata-mata.

Konflik institusi keluarga mengikut ahli teori ialah ;
1. Mengekalkan ketidaksamaan
Wujudnya institusi keluarga menyebabkan penindasan dan mengekalkan ketidaksamaan. Dimana keluarga yang kaya dan berkuasa akan menindas keluarga yang lemah. Keadaan ini akan berterusan.
2. Mewujudkan ketegangan
Di dalam keluarga, perkongsian hidup suami isteri sering diuji pelbagai ujian dan akibatnya wujud ketegangan. Perkahwinan menjadi medan perjuangan suami isteri dan masing-masing ingin mengawal pasangan masing-masing.
3. Mengekalkan status kaum lelaki
Sistem kekeluargaan ini akan mengekalkan lagi kedudukan tinggi kaum lelaki. Kedudukan lelaki lebih tinggi daripada status wanita. Dimana lelaki merupakan ketua keluarga. Di dalam susunan masyarakat perkahwinan adalah diunsurkan untuk memperkukuhkan keadaan berkeluarga.
4.Perceraian
Penceraian mungkin akan berlaku dalam institusi keluarga. Ini disebabkan oleh ketegangan yang berlaku diantara pasangan tersebut. Kesan negatif akan wujud terutamanya terhadap anak-anak. Dimana anak-anak mereka akan terbiar sehingga membawa kepada salah laku jenayah.